Sunday, December 6, 2009

Saudara(i) baru

Hari ni aku bersyukur dan syok dapat menyaksikan seorang wanita Serbia masuk Islam. Selepas isya' tadi, imam Abu Bilal ajak jemaah yang ada naik ke kawasan muslimah untuk jadi saksi kemasukan Islam oleh seorang warga Serbia Jerman.

Wanita ini datang dibawa oleh suaminya yang juga berasal dari Serbia. Yang menariknya, suami dia ini memang seorang muslim. (Bagi yang tidak tahu, memang ada sebahagian pendapat ulama yang membenarkan perkahwinan antara lelaki muslim dan wanita kristian, dan aku malas nak ulas kat sini).

Kisahnya kerana anaknya Adriano yang berumur dalam lingkungan 5 tahun jatuh sakit dan tidak dapat diubati di hospital. Sakit apa, aku kurang pasti. Tapi anaknya tak bangun tidur selama 2 hari dan beberapa perkara lain yang teruk dihidapi anaknya. Seorang kenalannya telah mencadangkan untuk pergi ke masjid untuk meminta sahabat-sahabat masjid meruqyah (menjampi?) anaknya dengan ayat-ayat Quran yang diajar nabi S.A.W.

Dipendekkan cerita, seorang brother yang juga selalu jadi imam di masjid sini, Bro Abdul Karim pergi meruqyah anak kecil tersebut. Dengan izin Allah anak kecil tersebut sembuh seperti sedia kala. Dapat berlari-lari dan bermain di dalam masjid, semasa kami solat tadi (kalau kat Malaysia, ntah-ntah budak ni dah kena marah).

Dengan keajaiban yang Allah izinkan, maka hidayah turun ke hati si ibu ini untuk menerima Islam. Aku kagum, aku syukur, aku terkesima melihat "sekecil-kecil" sebab menjadikan seseorang memerima ajaran Islam yang benar ini.

Ya Allah, Kau berikanlah kami, wanita tersebut, suami dan anaknya, kekuatan untuk meneruskan hidup sebagai muslim dan muslimah. Matikan kami dalam keadaan beriman dan bertaqwa.

Monday, October 12, 2009

Perangkap syaitan

Jangan kita biasakan dengan perkara-perkara makruh (=dibenci),

Jangan kita tinggalkan yang sunat (sunnah),

Syaitan akan mula menyesatkan kita dengan sekecil-kecil perkara, secara berterusan, sehingga kita tak perasan perubahan yang berlaku pada kita.

Wallahua'lam.

(nota diambil dari tazkirah mingguan oleh seorang sheikh di Osnabrück, Germany)

Thursday, September 17, 2009

Hari Raya Aidilfitri: Do and Don'ts

SUNNAH DI HARI RAYA AIDIL FITRI
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat aidil fitri .
2) Menjamah makanan sebelum keluar.
3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun
4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;
"TaqabbalAllahu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".
5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;
6) Menukar jalan ke tempat solat sunat aidil fitri (balik dan pergi) ;
7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena cuti yang diperolehi.

RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA
1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan.
2) Aurat & Ipar: Ipar duai tidak menjaga aurat di antara satu sama lain
3) Wangian Wanita: Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.
4) Pakaian Wanita: Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit.
5) Kubur: Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihuraikan oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya (kubur) juga dilarang
6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini. Masjid-masjid yang penuh ketika Ramadhan kembali lengang setelah tiba Syawal.
7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan.

Marilah kita merayakan Hari Raya aidilfitri dengan kemenangan dan kesyukuran. Tanda kemenangan kita ialah kita tidak kembali tunduk kepada nafsu setelah kita berjaya mengekangnya ketika Ramadhan.

Harap masjid masih penuh ketika solat-solat fardhu, bacaan Quran masih kedengaran dan perkara-perkara baik lain masih diteruskan setelah habisnya RAMADHAN.

Ubah suai dan ringkasan dari http://www.zaharuddin.net/content/view/612/72/

Selamat hari raya aidilfitri, minal aidil wal faizin.

Saturday, July 18, 2009

Tanda-tanda Husnul Khatimah (pengakhiran yang baik)

Bismillah. Akhir-akhir ini ada beberapa berita sedih umat Islam, di mana pendakwah dan ulama terkemuka seperti Fathi Yakan dan Sheikh Ibn Jibrin (Abdullah bin Abdul Rahman bin Jibrin) meninggal dunia. Mereka meninggalkan dunia dengan jasa yang banyak kepada Islam. Usaha dakwah mereka, karya ilmiah mereka dan pelbagai lagi jasa mereka jauh meninggalkan kita.

Jadi, apakah persediaan kita untuk menghadapi hidup di alam barzakh nanti? Marilah kita sentiasa berdoa kepada Allas s.w.t agar mendapat Husnul Khatimah iaitu pengakhiran yang baik bagi hidup di dunia ini.

Ok lah, aku nak kongsi sikit apakah tanda-tanda Husnul Khatimah, berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w.

1. Mengucapkan syahadat ketika meninggal dunia.

"Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga." (Hadis Riwayat Hakim dengan sanad yang hasan)

2. Mengalir keringat di dahi.

Hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. ." Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: "Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya"
(Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi (hasan), Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas'ud)

3. Meninggal dunia pada malam atau siang Jumaat.

"Tidaklah seorang Muslim yang meninggal dunia pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat melainkan pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur." (Hadis Riwayat Ahmad -sahih-)

4. Mati syahid.

5. Mati ketika dalam perang di jalan Allah.

6. Meninggal dunia kerana penyakit tha'un.

"Penyakit tha'un adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim." (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)

7. Meninggal dunia disebabkan oleh sakit perut.

Rasulullah s.a.w. telah bersaba: "Barangsiapa meninggal dunia kerana sakit perut, maka dia tidak akan diazab di dalam kuburnya?" Orang yang lainnya menjawab: "Benar" (Hadis an-Nasai, at-Tirmizi (hasan))

8. Meninggal dunia kerana tenggelam dan tertimpa keruntuhan.

"Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah." (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)

9. Wanita yang meninggal kerana melahirkan anak.

10. Meninggal dunia kerana terbakar dan kerana penyakit tumor.

Mengenai kedua perkara ini banyak sekali riwayat dan yang paling masyhur adalah dari Jabir bin Atik secara marfu': "Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid." (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad)

11. Meninggal dunia kerana mempertahankan harta yang dirampas.

12. Meninggal dunia kerana penyakit TBC.

"...mati kerana penyakit TBC adalah syahid..." (Hadis riwayat Thabrani)

13. Meninggal dunia kerana memperatahankan agama dan jiwa.

"Barangsiapa mati terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati dalam membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati dalam membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid." (Hadis riwayat Abu Daud, An-Nasaie, dan at-Trmizi (sahih))

14. Meninggal dunia dalam berjaga-jaga di jalan Allah.

"Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur)." (Hadis riwayat Muslim)

15. Meninggal dunia dalam keadaan berbuat amal soleh.

Sumber: Ahkamul Janaaiz wa Bida'uha

Semoga kita sentiasa berdoa mengharapkan Husnul Khatimah. Itulah target kehidupan kita. Biarpun kita tidak berjaya dalam kerjaya, tidak berjaya dalam sukan, tidak menjadi kaya raya, tapi jika kita mendapat Husnul Khatimah, maka kita adalah orang yang paling beruntung.

Wednesday, July 15, 2009

Umur meningkat

Bismillah..

Hari ini bertambah lagi umur aku. Alhamdulillah masih lagi aku dapat merasai nikmat hidup, nikmat iman dan nikmat Islam. Sepanjang 24 tahun ni aku sangat berharap umur aku ni diberkati oleh Allah s.w.t.

Aku cemburu melihat Imam Syafie r.h.m yang meninggal dalam lingkungan umur 55 tahun. Umurnya tidak terlampau panjang, tapi berkat. Lihatlah berapa banyak karyanya dan jasanya untuk umat ini.

Begitu juga dengan Imam Nawawi r.h.m yang meninggal dalam usia yang sangat muda. Beliau merupakan imam besar dalam mazhab Syafie. Karya-karyanya yang sangat banyak dan bermanafaat untuk umat Islam seperti Hadis 40, Riyadhus Salihin dan sebagainya.

Mereka ini walaupun umurnya tidak terlampau panjang, tetapi diisi dengan perkara-perkara yang sangat bermanafaat untuk dirinya, untuk umat dan untuk agama. Inilah keberkatan yang kita cari pada umur kita.

Semoga umurku yang berbaki ini akan diberkati oleh Allah s.w.t. Rakan-rakan, dan sesiapa sahaja, doakanlah diriku dan dirimu untuk diberkati baki usia yang dikurniakan Allah s.w.t.

Wednesday, July 1, 2009

Wasiat dari Rasulullah S.A.W

Wasiat dari Nabi s.a.w

Hadis Abu Hurairah r.a. katanya: Kekasihku (Rasulullah SAW) berwasiat kepadaku dengan tiga perkara; puasa tiga hari setiap bulan; dua rakaat Dhuha; dan witir sebelum tidur.

HR Bukhari (no: 1124) dan Muslim (no: 721)

Jom kita praktis sikit tapi tepat dan istiqomah dengan apa yang nabi suruh. Kita utamakan ibadat sunat yang nabi bagi gerenti.



Kerja kerja kerja

Ya Allah, berilah aku kekuatan, fokus dan kerajinan untuk siapkan Bachelorarbeit ini.

Tinggal sebulan je lagi. Come on acong!!!

Sunday, June 7, 2009

Kenapa Nabi S.A.W kahwin dengan A'ishah r.a di usia muda?

Mungkin ramai orang non-muslim, hatta yang muslim juga "ragu-ragu" kenapa Rasulullah S.A.W kahwin dengan A'isha di usianya sangat muda iaitu 6 tahun dan menggaulinya pada usia 9 tahun.

Berikut merupakan jawapan dari Al-fadhil Ustaz Abu Umair.

1- Sabit dalam hadis-hadis sahih bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkahwin dengan Aisyah r.a. ketika beliau berumur 6 tahun dan mereka mula bersama ketika Aisyah berumur 9 tahun.

2- Fakta ini diterima dengan kesepakatan seluruh umat Islam. Kata Ibn Katsir, "Hadis 'baginda berkahwin dengan Aisyah ketika berumur 6 tahun, dan bersama dengannya ketika berumur 9 tahun' tidak ada khilaf antara manusia. Ia sabit dalam kitab-kitab hadis sahih dan lain-lain". (Al-Bidayah wa an-Nihayah 3/161).

3- Tidak ada keganjilan dalam kes ini, kerana wanita yang hidup di negara-negara beriklim panas lebih cepat baligh, lebih cepat matang dan bersedia untuk menjadi isteri lebih awal.

Aisyah r.a. sendiri mengakui dengan kata-katanya, "Apabila kanak-kanak wanita mencapai umur 9 tahun, maka dia sudah bergelar wanita". (Sunan Tirmizi 3/417).

Kata Imam Syafie, "Aku melihat banyak sekali di Yaman kanak-kanak perempuan baligh ketika usia 9 tahun". (Siyar A'lam Nubala 10/91).

Kata Imam Syafie lagi, "Aku menjumpai di San'aa (Yaman) seorang nenek berusia 21 tahun". Dia mula haidh (baligh) ketika usia 9 tahun, dan melahirkan anak ketika usia 10 tahun. Anaknya pula haidh ketika usia 9 tahun dan beranak ketika usia 10 tahun". (Sunan Kubro Baihaqi 1/319).

Jadi, kebiasaan wanita-wanita Arab baligh dan bersedia menjadi isteri ketika usia 9 tahun.

4. Antara yang menunjukkan kebiasaan Arab pada zaman tersebut wanita berkahwin dalam usia yang begitu muda, ialah tidak dinukilkan oleh sejarawan bahawa musuh-musuh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mentohmah baginda dengan kes perkahwinannya dengan Aisyah.

Jika sekiranya ia suatu yang mengaibkan, nescaya pasti dinukilkan tohmahan-tohmahan daripada musuh-musuh sekelilingnya dari kalangan musyrikin dan munafiqin.

5. Perkahwinan baginda dengan Aisyah juga adalah pilihan Allah Taala untuk baginda. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bermimpi tentangnya, dan dimaklumi mimpi baginda adalah wahyu.

Di dalam Sahih Bukhari:

أريتك في المنام مرتين أى أنك في سرقة من حرير ويقال هذا امرأتك فاكشف عنها فإذا هي أنت فأقول إن يكن هذا من عند الله يمضه

Maksudnya: Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam berkata kepada Aisyah, "Aku melihat engkau di dalam mimpi sebanyak dua kali. Iaitu engkau berada di dalam kelubung daripada sutera. Dan dikatakan kepadaku: Inilah isteri kamu, maka singkapkanlah dia. Tiba-tiba perempuan itu ialah engkau. Lalu aku berkata: Jika ia adalah daripada Allah, maka Dia akan meneruskannya". (Bukhari no: 3682).

6. Antara hikmah perkahwinan baginda dengan Aisyah ialah dari sudut sebaran ilmu hadis. Dimaklumi Aisyah adalah seorang wanita yang cerdik dan bijak. Kebersamaannya dengan baginda sejak usia 9 tahun telah memberi ruang yang luas kepadanya untuk tahammul (menghafal) hadis-hadis Nabi. Dan terbukti beliau termasuk sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis.

7. Tohmahan musuh-musuh Islam, bahawa baginda berkahwin dengan Aisyah yang muda semata-mata kerana nafsu adalah tertolak. Lihatlah kesemua isteri-isteri Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam selain Aisyah. Kesemua mereka adalah janda, kecuali Aisyah. Malahan ada yang menjadi isteri baginda ketika sudah berusia seperti Saudah.

Sebenarnya, musuh-musuh Islam sudah ketandusan idea untuk menolak kehebatan dan kebenaran agama Islam ini. Sehingga akhirnya mereka terpaksa membuat tohmahan berbentuk keduniaan pula.

Wallahu A'lam.


Semoga dengan jawapan dari Ustaz Abu Umair ini dapat menambahkan ilmu dan keyakinan kita serta dapat idea untuk menjawab persoalan yang datang dari rakan non-muslim kita, inshaAllah.

Friday, June 5, 2009

Mengenali Dr. Abu Ameenah Bilal Phillips

Berdakwah kepada tentera AS


Dr. Abu Ameenah Bilal Phillips


ELEPAS enam bulan lamanya saya mengkaji dan berbincang secara serius, akhirnya saya membuat keputusan untuk memeluk Islam pada tahun 1972," kata pendakwah terkemuka, Dr. Abu Ameenah Bilal Phillips.

Namun sebelum memeluk Islam dan sedang mengikuti pengajian di Universiti Simon Frasier di Vancouver, Kanada, Dr. Abu Ameenah yang mahir bermain muzik terutamanya gitar, sering menghabiskan masa mengadakan persembahan di kelab-kelab malam.

Sehinggalah tamat pengajian dan mengambil keputusan menetap di Sabah, Malaysia, Dr. Abu Ameenah meneruskan minatnya terhadap muzik dan dunia seni hiburan.

Di Sabah, beliau mengadakan persembahan-persembahan sehingga mendapat gelaran sebagai Jimmy Hendrix Sabah kerana begitu popular!

"Tetapi apabila memeluk Islam saya berasa tidak selesa dengan dunia hiburan. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk bersara, sama ada secara profesional dan peribadi.

"Saya tidak lagi bermain muzik walaupun tuhan sahaja yang tahu betapa saya begitu sukakan muzik dan menghiburkan para pendengar," katanya.

Keputusan yang agak mengejutkan para peminat itu turut disebabkan apabila selepas setahun memeluk Islam, Dr. Abu Ameenah melanjutkan pelajaran mendalami Islam di Universiti Madinah di Arab Saudi.

Katanya, beliau mahu mengenali Islam dengan lebih mendalam daripada sumber-sumber yang lebih asli dan sahih kerana Islam itu berasal dari Arab Saudi itu sendiri.

"Ini kerana Islam tidak boleh dikenali dari amalan-amalan tradisi kerana kadang kala tidak bersumber atau berasaskan ajaran Islam itu sendiri," katanya.

Ketika menyiapkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Riyadh, beliau sempat menerbitkan program televisyen untuk Saluran Dua Televisyen Saudi iaitu rancangan yang dikenali sebagai Why Islam?

Ia memfokuskan wawancara bersama mereka yang memeluk Islam dari asal usul dan latar belakang yang berbeza dan sebab musabab mengapa mereka memeluk Islam.

Walaupun beliau beroleh pelbagai ilmu pengetahuan mengenai Islam sehingga ke peringkat sarjana namun perkembangan itu masih tidak membolehkan beliau menjawab pelbagai persoalan mengenai Islam. Terutama yang bertalu-talu ditanya oleh kalangan rakan dan ahli keluarganya sendiri.

Ini membuatkan beliau melakukan satu penyelidikan. Akhirnya segala kemusykilan bagaikan terjawab apabila beliau berjaya menulis sebuah buku bertajuk Poligami Dalam Islam.

Dr. Abu Ameenah mengupas persoalan mengenai poligami itu daripada aspek sejarah dan biologi dan rasional di sebalik sistem itu.

Beliau benar-benar seorang penulis yang prolifik mengenai dunia Islam walaupun baru setahun jagung memeluk Islam.

Ini apabila buku kedua beliau iaitu Fundamentals of Islam Monotheism diterbitkan bagi menjelaskan keunikan Islam dari aspek kepercayaan kepada Tuhan Yang Satu.

Seusai mendapatkan ijazah sarjana, beliau ditawarkan bertugas di Bahagian Agama di Ibu Pejabat Tentera Udara Arab Saudi semasa meletusnya perang Teluk (Desert Storm) pada tahun 1990.

Di sini, Dr. Abu Ameenah bertanggungjawab memberi penerangan mengenai Islam kepada anggota-anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang berpangkalan di Bahrain dan Wilayah Timur Laut Arab Saudi.

"Oleh kerana imej Islam menjadi begitu buruk di Amerika, saya bersama lima lagi rakan selama hampir enam bulan selepas tamatnya Perang Teluk itu, terlibat dalam projek menjelaskan dan memberikan gambaran sebenar mengenai Islam kepada hampir separuh anggota tentera AS yang berpengkalan di situ," katanya.

Hasilnya, tanpa disangka seramai 3,000 anggota tentera AS itu memeluk Islam kerana tertarik dengan kebenaran dan keindahan Islam.

Namun beliau menyedari bahawa tugas yang lebih berat adalah memastikan bahawa askar-askar itu tetap berpegang teguh kepada Islam dan mematuhi dan ajaran-ajaran agama itu.

Lalu apabila askar-askar itu kembali semula ke tanah air, Dr. Abu Ameenah mengikut mereka pulang ke AS bagi membantu saudara-saudara baru itu.

Di Amerika, beliau dengan bantuan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muslim Members of the Military (MMM) sering mengadakan persidangan dan pelbagai aktiviti.

Ini termasuk berusaha mendapatkan kemudahan mendirikan ibadat dan solat bagi kemudahan askar-askar beragama Islam di seluruh dunia di mana pangkalan-pangkalan tentera Amerika ada ditempatkan.

Kerajaan AS akhirnya bersetuju dengan permintaan itu dan meminta supaya dilantik seorang dari kalangan anggota tentera beragama Islam itu bertugas sebagi Muslim Chaplains di setiap pangkalan tentera AS. (Nota: Chaplains lazimnya merujuk jawatan paderi Kristian yang bertugas di pangkalan tentera AS)

"Apa yang membuatkan saya lebih terharu, apabila ada di kalangan anggota tentera AS yang baru memeluk Islam ini menawarkan diri berjihad bagi membantu umat Islam yang tertindas dek kekejaman rejim dan puak Serbia di Bosnia Herzegovina," katanya.

Dr. Abu Ameenah terus melebarkan usaha walaupun dikira baru dalam Islam dengan terus komited terhadap agama itu dengan mengembara ke Selatan Filipina iaitu Pulau Mindanao.

Tujuannya mengajak umat Islam di situ supaya mencintai kedamaian berbanding bertindak terlalu agresif sehingga mencemarkan imej Islam itu sendiri.

Beliau juga berjaya menaikkan taraf pengajian Islam di Universiti Cotabato City bagi menawarkan peluang pengajian sehingga ke peringkat Sarjana di universiti itu.

Pada tahun 1994, beliau kemudiannya berhijrah ke Emiriah Arab Bersatu bagi menerima jemputan Sheikh Salim Al Qasimi. Beliau diminta menjayakan satu pertubuhan kebajikan beribu pejabat di Dubai yang dikenali sebagai Dar Al Ber.

Di pertubuhan itu, Dr. Abu Ameenah berjaya mendirikan sebuah Pusat Maklumat Islam dengan dibantu oleh para sahabat yang baru memeluk Islam tetapi sudah begitu komited terhadap segala perjuangan agama itu.

Ini termasuklah Uthman Barry (saudara baru berbangsa Ireland), Ahmed Abalos (saudara baru dari Filipina) dan Abdul Latif, saudara baru dari Kerala, India.

Dalam tempoh lima tahun sejak penubuhan pusat itu, seramai 1,500 individu dari AS, Australia, United Kingdom, Russia, China, Jerman, Filipina, Sri Lanka, India dan Pakistan memeluk Islam di situ.

Sejak tiga tahun lalu, beliau berjaya menubuhkan jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Kesusasteraan Asing di Dar Al Fatah, Kementerian Luar Dubai. Ia bagi menjelaskan mengenai Islam kepada yang bukan Islam melalui bahasa-bahasa asing selain bahasa Arab dan Inggeris.

Namun hari yang paling menggembirakan beliau apabila kedua-dua orang tuanya yang dalam usia 70-an, yang sebelum ini menghabiskan kebanyakan usia mereka di utara Nigeria, Yemen dan Malaysia akhirnya memeluk Islam empat tahun lalu.

Walau mengecap dunia glamor semasa bergelar Jimmy Hendrix Sabah namun semua itu hanya tinggal kenangan.

Berdakwah di jalan Allah dan hidup dalam kesederhanaan lebih menjanjikan kenikmatan iman walaupun sesekali sambil mengalunkan irama dari tali gitar!

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm 

Tersentuh bila baca kisah orang yang lahir bukan dalam keluarga Islam, akhirnya mengecapi nikmat Islam dan sanggup menyebarkannya. Aku bila lagi?

Thursday, May 28, 2009

Ceramah Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman

Ceramah Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR) di Albstadt, Germany sangat bermanafaat. UZAR memberi 5 perkara penting dan menjawab persoalan umum pelajar-pelajar di Jerman.



Semoga bermanafaat.

Monday, May 11, 2009

Imarahkan majlis ilmu














Petikan dari sabda nabi s.a.w. riwayat Imam Muslim yang bermaksud 
"Barangsiapa yang meniti suatu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah memudahkan untuknya jalan menuju Syurga".

Sehubungan dengan itu marilah kita mengimarahkan majlis ilmu. Beri sedikit masa setiap hari untuk diri kita, menimba ilmu, memahami agama Allah, inshaAllah.


Friday, April 3, 2009

Adab Makan

Video ni kesinambungan dari post aku yang lepas tentang keharaman makan dengan tangan kiri. Iklan yang sangat bagus untuk peringatan kita semua inshaAllah.


Thursday, March 19, 2009

Faith Science & Common Sense - The train is coming

Video ni masa Sheikh Yusuf Estes, yang merupakan bekas paderi di Texas yang sekarang menjadi pendakwah bebas, memberikan talk di Telekom Malaysia Bhd semasa lawatan dakwahnya di Malaysia.

Dia bagi contoh yang menarik untuk orang yang dengar hujah tapi tidak mahu menerimanya.
Semoga bermanafaat. 

Sunday, February 22, 2009

Prioriti?

Apakah sembang tentang politik "Islami" lebih penting dari solat jemaah? Sama-sama kita fikir....

Tuesday, February 10, 2009

Berkecuali

Macam-macam perkara berlaku dalam politik negara. Aku rasa langkah terbaik (seperti biasa) mengambil sikap berkecuali dari membuat andaian yang pelbagai. Kalau tersalah andai nanti, tak pasal-pasal dapat dosa free pula. Doa agar keadaan negara kembali tenang dan maju insyaAllah.

Siapa yang betul, siapa yang salah, hanya Dia sahaja yang tahu. Baik aku fokus dekat exam.

Saturday, January 31, 2009

Selamatkan negaraku dari fitnah

Macam-macam berlaku kat negara Malaysia sekarang. Umat Islam patut bersatu padu, berdoa agar Allah selamatkan negara kita dari fitnah (maksud: kacau bilau).

Risau gila!

Monday, January 26, 2009

Ada berani?

Kalau ada peluang masuk BBC atau CNN, sila berani macam orang ini ye. 

Tony Benn ni ialah Member of Parliament di UK.



Saturday, January 17, 2009

Jamak taakhir, mana dahulu?

Assalamualaikum,

Apabila jamak taakhir, ada khilaf adakah wajib tertib antara sembahyang atau tidak. 

Pndapat Pertama 
Ada pendapat yg mewajibkan tertib antara 2 sembahyang dalam jamak taakhir. Berdalilkan kepada beberapa perkara: 

1) Sunnah Nabi ketika jamak taakhir di Muzdalifah, baginda mendahulukan sembahyang maghrib, kemudian barulah sembahyang isyak. (HR Bukhari dan Muslim) 
Dan kaedah dalam sembahyang: "Sembahyanglah sebagaimana kamu melihat aku sembahyang". 

2) Firman Allah dalam surah al-Nisa ayat 154: "Sesungguhnya sembahyang itu kewajipan yg ditentukan waktunya atas org2 mukmin". 
Penjelasan Dalil: Syarak telah menyusun 5 sembahyang fardhu, dan tidak memerintahkan semabhyang isyak kecuali setelah selesai kewajipan maghrib, dan tidak memerintahkan solat asar kecuali setelah selesai kewajipan zohor. 
Maka dikekalkan susunan ini seperti asalnya. 

3) Sabit dalam hadis sahih bahawa Nabi SAW mengqadha' sembahyang mengikut tertib. Jika diambilkira tertib dalam sembahyang qadha', maka lebih aula diambil kira tertib dalam sembahyang jamak taakhir. kerana jamak taakhir adalah tunai, bukannya qadha'. 

Pendapat Kedua 
Ada ulama tidak mewajibkan tertib dalam jamak taakhir  dan ini pendapat yg disahihkan dalam mazhab syafie. Dan mereka berpendapat tertib adalah sunat. 

Dalilnya: Perbuatan Nabi yg disebut diatas ditafsirkan sebagai sunat, bukannya satu kewajipan dan kelaziman. 

wallahu a'lam 

rujukan: 
Majmuk Nawawi 4/178 
syarah mumti' Uthaimin 4/402 
syarah Syeikh Al-Syanqiti (Zad Mustaqni')

Jawapan ini adalah dari soal jawab aku dengan Ustaz Abu Umair. InsyaAllah ilmu agama kita diperluaskan.

Tuesday, January 6, 2009

Palestin dibedal, apa sumbangan kita?






Apakah perasaan kita melihat anak-anak kecil yang tidak berdosa ini dibedil oleh Zionist laknatullah? Saudara kita di Palestin sedang berjuang demi kebebasan sendiri. Apa fungsi kita sebagai saudara semuslim? Apa yang dah/boleh kita lakukan?

Sekadar cadangan aku, apa yang kita yang lemah ni boleh lakukan untuk saudara-saudara kita di Palestin:

  • Doa untuk mereka, kemenangan mereka, kemusnahan tentera yahudi laknatullah. Sebaik-baiknya DOA QUNUT NAZILAH.

       Contoh Qunut Nazilah :














  • Cuba sedaya-upaya untuk boikot produk-produk milik penyokong yahudi. Mungkin ada sesetengah antara kita menganggap boikot ini tidak akan mendatangkan kesan kepada mereka, tapi cubalah. Semoga usaha kecil kita ini dikira oleh Allah sebagai amal kebajikan, insyaAllah. http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/yahudiboikot.html
  • Belajar bersungguh-sungguh dengan niat untuk memantapkan teknologi umat muslimin. Yahudi adalah golongan yang tidak banyak bilangannya di dunia. Mereka bersatu dan menguasai ekonomi, politik dan TEKNOLOGI. Ayuh, bersungguh-sungguhlah kita!
  • Solat berjemaah. Antara sebabnya adalah kerana Qunut Nazilah hanya dilakukan pada solat fadhu berjemaah. Lagipun seperti sedia maklum, solat jemaah 27 kali lebih baik dari solat sendirian. Malah terdapat beberapa ulama mewajibkan untuk orang lelaki solat jemaah.
  • Derma pada organisasi-organisasi yang dapat menyalurkan untuk bantuan ke Palestin. Boleh google sendiri insyaAllah.

Banyak lagi yang boleh kita buat untuk saudara kita di Palestin. Apa yang penting ialah kita buat, dan bukan hanya teori semata-mata. InsyaAllah usaha kerdil ini sebagai bekal akhirat, dan tanda kasih kita sesama Islam.

Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a., khadam Rasulullah SAW, daripada nabi SAW, Baginda bersabda:

Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri. (HR Bukhari dan Muslim)

"Kalahkan mereka, kalahkan mereka, kalahkan mereka, dan menangkan kami ke atas mereka"

Sunday, January 4, 2009

Hari Asyura

Assalamualaikum,

Daripada Ibn Abbas Radiyallahu'anhuma bahawa Rasulullah ketika berpuasa pada hari 'Asyura dan mengalakkan untuk berpuasa, para sahabat bertanya : "Ya Rasulullah, sesungguhnya hari tersebut ('Asyura) merupakan hari ini adalah hari yang diagung-agungkan oleh Yahudi dan Nasrani. Kemudian baginda bersabda : jika tiba tahun berikutnya – insyaAllah – kita akan berpuasa pula pada hari kesembilan". 

Ibn Abas berkata “Belum sampai tahun depan, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam sudah meninggal dunia.” 

(HR. Muslim)

Di kebanyakan tempat, 9 dan 10 Muharram adalah pada 6 (Selasa) dan 7 Januari (Rabu) 2009. Kita disunnahkan berpuasa pada hari-hari ini. 

Abi Qatadah r.a. meriwayatkan; Nabi s.a.w. pernah ditanya tentang berpuasa pada hari ‘Asyura? Baginda menjawab; “Puasa di hari itu akan menghapuskan dosa setahun yang lalu (Hadis sahih riwayat Imam Tirmizi).

Apa lagi yang kita nak selain keampunan dari Allah. Jadi jom kita puasa.


Info tambahan:
Bagi mereka yang tidak berpuasa pada hari Tasu'aa' (9 Muharram) bolehlah meneruskan puasa pada hari ke 11. Ini merupakan pandangan Mazhab al-Syafie. 

Menurut Dr Mustafa al-Khin :- 

لذلك استحب ان لم يصم مع عاشوراء تاسوعاء أن يصوم اليوم الحادي عشر

"Dengan demikian jika dia memilih untuk tidak berpuasa Tasu'a bersama Asyura', maka bolehlah dia berpuasa pada hari ke 11" - [al-Fiqh a-Manhaji, 1/356, Mughni al-Muhtaaj 1/602 - فإن لم يصم معه تاسوعاء سن أن يصوم معه الحادي عشر]. 

Syeikh al-Syarbini menyatakan bahawa Imam Syafie rh didalam al-Umm ada menyebut bahawa digalakkan memenuhkan puasa selama 3 hari (9, 10 dan 11)- [Mughni al-Muhtaaj 1/602] 

Sumber www.al-ahkam.net

Friday, January 2, 2009

Sila makan dan minum dengan tangan kanan

Assalamualaikum,

Fenomena yang sukar aku fahami. Dari kecil kita dah diajar tentang perkara ini. Ibu, bapa, cikgu tadika, cikgu sekolah rendah, cikgu sekolah menengah dan ramai lagi confirm pernah cakap, „makan minum mesti dengan tangan kanan“.

Tapi entah sebab kesombongan, lupa atau entah apa yang menyebabkan perkara ini antara perkara yang paling orang ambil tak peduli.

Dari Jabir bin Aabdillah radhiyallahu ‘anhu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “janganlah kalian makan dengan tangan kiri kerana syaitan itu juga makan dengan tangan kiri.” (HR Muslim)

Berdasar hadis di atas, jelas menunjukkan larangan keras dari Nabi S.A.W makan dan minum dengan tangan kiri kerana perkara tersebut menyerupai syaitan.

Antara „sebab“ yang aku rasa orang-orang yang makan dan minum tangan kiri:

1.      Tangan kanan dah kotor digunakan semasa makan, jadi RAMAI yang minum dengan tangan kiri.

2.      Ikut protokol makan di hotel, potong pakai tangan kanan dan makan pakai tangan kiri.

3.      Sebab memang kidal (aku pun kidal gak)

4.      Dan banyak lagi.

Bagi yang kidal, ada hadis khas untukmu:

Dari Abdullah bin Muhammad, dari seorang wanita di antara mereka yang berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam masuk menemuiku ketika aku sedang makan dengan tangan kiriku, kerana aku seorang wanita yang KIDAL. 

Maka beliau memukul tanganku sehingga sesuap makanan jatuh. 

Lalu beliau bersabda, "Janganlah engkau makan dengan tangan kirimu, sedangkan Allah telah menjadikan tangan kanan untukmu." Atau bersabda, "Sedangkan Allah telah menyembuhkan tangan kananmu." 

(HR. Ahmad dan Thabarani. Dihasankan oleh Syaikh Al Albani dalam Jilbab Al Mar'ah Al Muslimah)

Lagi sekali jelas menunjukkan, walaupun seseorang itu kidal, maka tidak harus baginya untuk makan dan minum dengan tangan kiri.

Sebagai rujukan, aku kepilkan sekali gambar hiasan dari member aku.



Sekarang ini, semuanya tergantung pada diri kita sama ada untuk menerima kenyataan yang makan dan minum dengan tangan kiri itu tidak dibenarkan oleh agama.

Mari kita sama-sama amalkan hidup ini dengan apa yang diajar oleh Allah dan nabi S.A.W.

Senang je nak ingat, makan dan minum dengan tangan kanan, walaupun kita ni kidal, tak biasa, pakai sudu, pakai garfu atau apa sahaja alasan yang tidak memudharatkan.

Sekian.